SEGAMAT: Komuniti MADANI terus diperkasakan sebagai ejen penyampai maklumat kerajaan bagi memastikan rakyat menerima informasi tepat serta menangkis penyebaran berita palsu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beberapa penambahbaikan akan dilaksanakan terhadap program Komuniti MADANI dengan memberi penekanan kepada aspek penyampaian maklumat dan latihan.
Advertisement
“Diharapkan Komuniti MADANI dapat menjadi pasukan yang utuh dan ampuh dalam menyampaikan maklumat, menangkis fitnah, mendengar keluh kesah dan memastikan kerajaan lebih responsif dalam menangani isu semasa,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan watikah kepada 150 Ketua Komuniti MADANI Johor bagi tempoh 2026/2027.
Beliau berkata, Komuniti MADANI berperanan sebagai key communicator atau ejen penyampaian maklumat bagi pihak Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam menjelaskan dasar-dasar kerajaan serta memperbetul persepsi masyarakat terhadap isu yang mengelirukan.
Beliau turut menggalakkan Komuniti MADANI bekerjasama dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Kerjasama tersebut akan diterjemahkan melalui pelbagai program komuniti termasuk latihan penggunaan kecerdasan buatan (AI), penyediaan hujah komunikasi, serta pembangunan bahan sebaran menggunakan aplikasi seperti Canva dan latihan reka bentuk grafik, katanya.
Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Segamat Cemerlang, V Shamala, 42, yang baharu dilantik berkata, antara keutamaan beliau adalah bekerjasama dengan Jabatan Penerangan Malaysia bagi memberikan penerangan berkaitan isu semasa kepada masyarakat.
Beliau berkata, sesi perkongsian maklumat itu penting memandangkan ketika ini banyak sumber berita yang tersebar tidak sahih, justeru masyarakat perlu menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai dan menyebarkannya.
“Pada masa sama, Komuniti MADANI juga merupakan platform yang lebih berkesan dalam mengekang penularan berita palsu kerana maklumat dapat disalurkan terus kepada komuniti,” katanya.
Sementara itu, Nur Hakimah Nordin, 29, yang dilantik sebagai Ketua Komuniti MADANI Kampung Baru Jementah berkata, antara perancangan beliau adalah untuk mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Katanya, usaha itu merangkumi penerangan mengenai peranan setiap agensi kerajaan serta perkhidmatan disediakan agar masyarakat lebih memahami fungsi dan tanggungjawab agensi terbabit.
Menurut Nur Hakimah, pihaknya juga merancang program santai yang melibatkan pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), penghulu dan ketua kampung seperti larian santai serta aktiviti kemasyarakatan lain melibatkan semua lapisan masyarakat.
-- BERNAMA