TOKYO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata secara kolektif ASEAN dan Jepun boleh memainkan peranan yang signifikan dalam komuniti global ke arah penyelesaian yang aman dan berpanjangan bagi konflik Palestin-Israel.

Ini kerana jelasnya, semua negara anggota ASEAN dan Jepun mengundi menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 12 Disember 2023 lalu.

“Malaysia mengalu-alukan undian resolusi Perhimpunan Agung PBB pada 12 Disember 2023, yang menuntut gencatan senjata kemanusiaan, akses kemanusiaan dan pembebasan tebusan.

“Semua negara anggota ASEAN dan Jepun mengundi menyokong resolusi tersebut. Melangkah ke hadapan, kita harus bekerjasama untuk merealisasikan tuntutan ini.

“Kami (Malaysia) sudah tentu mengecam serangan berterusan Israel ke atas Gaza. Kekejaman ini mengingatkan kita kepada (insiden) Hiroshima-Nagasaki,” katanya ketika menyampaikan kenyataan di Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun, di Tokyo pada Ahad.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama Perdana Menteri turut menyentuh mengenai isu Laut China Selatan.

Beliau menyatakan Malaysia komited dengan teguh kepada penyelesaian pertikaian secara aman terkait isu Laut China Selatan yang dianggap sensitif dan rumit.

Ini jelasnya, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982).

“Pada masa yang sama, kami amat percaya bahawa pihak-pihak berkaitan harus mengawal diri dalam menjalankan aktiviti dan mengelakkan tindakan yang akan merumitkan lagi keadaan,” jelas beliau.

Perdana Menteri dalam lawatan kerjanya ke Tokyo menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun bersempena 50 tahun Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun.