Skip to main content

Malaysia

Kontraktor perlu kemuka bukti kenaikan harga bahan untuk VOP - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 3 April -- Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan bercakap kepada media selepas hadir pada Majlis Pra Pelancaran International Conference On Slope (ICOS) 2026 di Menara Kerja Raya hari ini._BERNAMA
Ahmad Maslan berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan VOP sekiranya terdapat bukti kukuh menunjukkan berlaku kenaikan mendadak harga bahan binaan sehingga memberi kesan kepada kos projek. - Bernama
Advertisement

PASIR PUTEH: Kontraktor yang mendakwa berlaku kenaikan mendadak harga bahan binaan disaran mengemukakan bukti serta maklumat kos sebenar kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi membolehkan kerajaan menilai keperluan melaksanakan Syarat Perubahan Harga (VOP).

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata berdasarkan data DOSM bertarikh 10 Ogos, harga kebanyakan bahan binaan menunjukkan peningkatan kecil dan kekal stabil, termasuk besi serta simen yang mencatat kenaikan kurang satu peratus.

Beliau berkata meskipun terdapat bahan tertentu seperti pasir merekodkan kenaikan hingga 19 peratus di sesetengah kawasan, sebarang dakwaan mengenai peningkatan kos lebih tinggi perlu disokong dengan bukti dan maklumat sebenar dihadapi kontraktor di lapangan.

“Kalau tidak tepat, persatuan-persatuan yang terlibat hendaklah memberi maklum balas kepada DOSM dengan bukti-bukti bahawa statistik itu tidak tepat dan nyatakan apakah yang tidak tepat.

“Kami terpaksa guna statistik yang diberi DOSM. Kalau DOSM kata tidak naik lebih daripada satu peratus, itulah yang kami nak nyatakan. Kalau tidak naik lebih satu peratus, macam mana kita nak beri VOP?" katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan bangunan tambahan Kolej Matrikulasi Kelantan kepada Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.

Ahmad Maslan berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan VOP sekiranya terdapat bukti kukuh menunjukkan berlaku kenaikan mendadak harga bahan binaan sehingga memberi kesan kepada kos projek.

“Selagi tidak ada data yang menunjukkan bahawa kenaikan itu melambung-lambung, bagaimana kami nak beri VOP? Kalau sah ada kenaikan yang melambung-lambung tinggi pelbagai sudut, pelbagai bahan, maka pertimbangan barulah boleh diberi,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta persatuan kontraktor termasuk Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia, kontraktor Kelas F serta persatuan perniagaan lain mengemukakan invois dan bukti berkaitan kos bahan binaan kepada DOSM bagi menggambarkan situasi sebenar di lapangan.

Pada April lepas, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia menggesa kerajaan melaksanakan langkah segera termasuk mengaktifkan semula VOP bagi bahan binaan untuk membantu kontraktor yang berdepan tekanan kenaikan kos susulan krisis tenaga global.

Presidennya Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz dilapor berkata mekanisme itu pernah dilaksanakan ketika negara berdepan dengan krisis sebelum ini, termasuk semasa pandemik COVID-19, dan terbukti membantu kontraktor menangani peningkatan kos.

Sementara itu, Ahmad Maslan berkata projek tambahan Kolej Matrikulasi Kelantan bernilai RM147.96 juta berjaya disiapkan tanpa pertambahan kos, selain mencapai sifar kecacatan utama dan sifar Variation Order (VO).

Beliau berkata projek berkenaan turut mencapai penarafan empat bintang Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan Dalam Industri Pembinaan, selain merekodkan sifar kemalangan yang menyebabkan kehilangan masa bekerja.

Projek itu merangkumi bangunan akademik dan pentadbiran, penginapan pelajar dan pensyarah, pusat sehenti pelajar, kafeteria, dewan serbaguna serta pelbagai kemudahan sukan.

Antara kemudahan sukan disediakan ialah trek olahraga lapan lorong yang memenuhi piawaian World Athletics Kelas 2 dan padang hoki bertaraf Persekutuan Hoki Antarabangsa Kelas 2, selain padang bola sepak, ragbi serta gelanggang pelbagai guna.

Ahmad Maslan berkata penggunaan Sistem Binaan Berindustri dengan skor melebihi 70 peratus serta Building Information Modelling turut membantu meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek.

Beliau berkata tempoh tanggungan kecacatan bagi projek itu adalah selama dua tahun dan sebarang kecacatan dalam tempoh berkenaan menjadi tanggungjawab kontraktor, manakala penyelenggaraan selepas tempoh tersebut akan ditanggung Kementerian Pendidikan menerusi peruntukan tahunan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement