Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) zon utara akan diadakan pada 5 September ini di Miri melibatkan 17 cawangan PBB seluruh negeri.

Konvensyen itu juga membuka kepada persoalan adakah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan dalam waktu terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke 12 (PRN12) diadakan?

Persoalan itu diajukan kepada Timbalan Presiden PBB, merangkap Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

"Umum sudah tahu bahawa tempoh Dewan Undangan Negeri kita akan berakhir tahun depan.

"Bila pilihan raya itu diadakan itu terpulang kepada ketua menteri untuk memutuskannya," jawabnya.

Untuk rekod, mandat DUN Sarawak akan berakhir pada bulan Jun 2021. Ini bermakna PRN Sarawak boleh diadakan pada Julai 2021 atau sebelum 7 September 2021.

Baca: Masing cadang PRU dan PRN Sarawak diadakan serentak

Jelas Awang Tengah dalam PBB konvensyen seperti ini amalan biasa bukan hanya untuk berdepan pilihan raya.

"Menjadi kebiasaan kita untuk melaksanakan program seperti ini ahli PBB dan masyarakat keseluruhan faham dasar, tumpuan dan aspek perjuangan kita," tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa wawancara khas sempena konvensyen berkenaan di pejabatnya di Wisma Sumber Alam di sini.

Mengulas lanjut Awang Tengah berkata konvensyen berkenaan akan diadakan mengikut garis panduan yang ditetapkan dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sememangnya kita sudah merancang untuk nak mengadakan konvensyen ini di Kuching."

"Namun disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan PKP maka kita telah putuskan untuk mengadakan konvensyen khas ini mengikut zon. Kawasan utara melibatkan 17 cawangan PBB daripada Belaga,Mulu, Bintulu Limbang Lawas sampai Ba'Kelalan," jelasnya.


Jumlah kehadiran dihadkan kepada 50 peratus kapasiti venue konvensyen yang dijangka melibatkan 800 sehingga 900 peserta.

Bertemakan Hak Sarawak Diutamakan Pembangunan Diperkasakan konvensyen signikfikan dengan aspirasi kerajaan untuk menuju negeri maju menjelang 2030.