KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Jabatan Pertanian sedang dalam proses untuk mengadakan rundingan dengan Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) bagi mendapatkan akses pasaran buah durian segar ke China.

Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin berkata usaha ini dilakukan selepas kejayaan mendapatkan pasaran nangka segar ke China.

"Walau bagaimanapun, faktor ketahanan pada suhu bilik (shelf life) menjadi cabaran kepada Malaysia untuk mengekalkan tahap kesegaran dan kualiti buah durian yang dieksport.

"Pengeksportan durian ke China dalam bentuk segar memerlukan buah durian dituai sebelum tempoh matang penuh bagi memastikan kulit buah durian tidak merekah apabila tiba di negara China," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan KPKM, di sini pada Khamis.

Chan berkata, berbanding negara jiran, durian dari Malaysia dituai ketika buah mencapai kematangan dan luruh, menjadikan tempoh ketahanan buah lebih singkat dan sukar untuk diekport secara segar ke destinasi yang jauh seperti China.

Beliau berkata. disebabkan itu, Malaysia menggunakan teknologi sejuk beku terkini cryogenic deep freezing supaya buah durian dapat mengekalkan kualiti dalam tempoh yang lama.

"Sekiranya Malaysia mendapat laluan pasaran durian segar ke China, pengusaha-pengusaha durian tempatan perlu bersedia dengan teknik penuaian buah yang dapat memanjangkan tempoh ketahanan buah pada suhu bilik," katanya.

Sementara itu, bagi memperkasakan pasaran durian Malaysia di luar negara dan meningkatkan kesedaran pengguna di peringkat antarabangsa, KPKM menerusi Pejabat Perwakilan Pertanian di luar negara bersama-sama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekuturan (FAMA) juga aktif menjalankan program promosi termasuk menyertai pameran perdagangan dan menganjurkan program promosi durian.

Chan berkata, pada 2022, sebanyak 25 program promosi luar negara yang telah disertai atau dianjurkan di luar negara oleh KPKM bersama-sama agensi di bawahnya.

"Pada 2023, sebanyak 38 program promosi dirancang untuk dilaksanakan oleh KPKM," katanya.

-- BERNAMA