Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan “pembersihan” dengan mendaftarkan rumah ibadat dan kedudukan mereka di tanah sedia ada.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya sedang merangka satu akta bagi memastikan rumah ibadat yang belum dibina mendapat kelulusan terlebih dahulu.

Menurut laporan Bernama, Zuraida berkata sekiranya akta berkenaan wujud, KPKT akan membuat satu "by law" ataupun undang-undang kecil.

"Sekiranya kedudukan mereka (rumah ibadat) terletak di tanah yang tidak sepatutnya atau bukan milik mereka, kita harus mengambil tindakan untuk menasihati mereka agar keluar dari kawasan berkenaan," katanya selepas merasmikan mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perdagangan Islam Malaysia kali ke-25 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, setiap pembangunan rumah ibadat harus melalui proses yang betul.