GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana kes buli dan akan meminta bantuan daripada pihak polis bagi menjalankan siasatan di sekolah yang didapati berlaku terdapat kegiatan gangsterisme.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata KPM dan sekolah, berperanan untuk memastikan setiap sekolah tempat yang selamat untuk pelajar menimba ilmu.

"Sebenarnya kes buli di dalam sekolah memang ada, sama ada serius atau tidak. Bagi pihak kementerian, sekiranya budaya gangsterisme ini semakin serius dan sukar dibendung, kemungkinan kita akan meminta bantuan daripada Bukit Aman untuk masuk ke sekolah, kerana KPM tidak mahu sebarang anasir-anasir luar yang tidak sepatutnya masuk ke sekolah.

"Selain itu, kementerian juga akan memohon pegawai perhubungan polis supaya lebih kerap memantau dan melakukan rondaan di sekolah yang mempunyai rekod kes buli, agar isu ini dapat dibendung," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong ditemuk pasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen Tanjong di sini yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Hui Ying berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video tular kes pukul membabitkan sekumpulan pelajar memukul seorang lagi pelajar, dipercayai berlaku di sebuah sekolah menengah di Butterworth, dekat sini, yang tular di media sosial sejak semalam.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata Kementerian Pendidikan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kes buli yang tular di media sosial itu dan dalam masa sama KPM juga telah meminta pihak sekolah untuk menjalankan siasatan dalam berhubung kes tersebut.

Beliau berkata KPM tidak akan berkompromi dengan kes buli di sekolah dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku selepas siasatan selesai.

"Sekolah akan menyiasat mereka yang terlibat dan beri bimbingan kepada mangsa, mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan displin, pihak sekolah juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis," katanya.

Hui Ying berkata bukan hanya pihak sekolah sahaja yang perlu pastikan sekolah selamat, pihak polis juga diminta untuk membantu bagi memastikan sekolah dan kawasannya selamat.

"Saya juga memohon ibu bapa agar mengambil tahu aktiviti anak-anak mereka di luar sekolah. Dalam hal ini, semua pihak ada tanggungjawab masing-masing termasuk ibu bapa.

"KPM juga berharap agar sebarang anasir-anasir tidak elok, jangan dibawa masuk ke sekolah," katanya.

-- BERNAMA