NATIONAL
KPN sekali lagi peroleh kebenaran mulakan prosiding komital terhadap Papagomo

Permohonan itu berhubung kes saman RM3 juta yang difailkan Razarudin selaku plaintif terhadap Wan Muhammad Azri atau dikenali sebagai Papagomo sebagai defendan atas dakwaan memfitnah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain untuk memulakan prosiding komital ketiga terhadap penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris kerana melanggar syarat permohonan maaf yang diperintahkan oleh mahkamah sebelum ini.
Ringkasan AI
- Prosiding Komital Ketiga terhadap Papagomo: Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain untuk memulakan prosiding komital ketiga terhadap penulis blog Wan Muhammad Azri (Papagomo) kerana melanggar syarat permohonan maaf berkaitan kes saman fitnah RM3 juta.
- Pelanggaran Perintah Mahkamah: Wan Muhammad Azri didakwa menghina mahkamah selepas menerbitkan video di TikTok dan YouTube, yang dikatakan bertentangan dengan permohonan maafnya dan seolah-olah memperdayakan mahkamah.
- Arahan Pemadaman Kandungan Fitnah: Mahkamah mengarahkan Wan Muhammad Azri untuk memadam video yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin, serta melarangnya daripada menerbitkan sebarang kenyataan fitnah di platform media sosial.
"Pendengaran inter-parte bagi perintah komital ditetapkan pada 30 Jun dan kehadiran defendan adalah diwajibkan," katanya.
Pada 9 Mei lepas Gan Techiong menetapkan tarikh sama (30 Jun) untuk pendengaran permohonan komital kedua selepas membenarkan permohonan Razarudin untuk memulakan prosiding komital itu terhadap Wan Muhammad Azri kerana melanggar syarat permohonan maaf yang diperintahkan oleh mahkamah pada 30 April.
Berdasarkan notis permohonan komital ketiga yang difailkan di Mahkamah Tinggi semalam (15 Mei), Razarudin memohon perintah komital terhadap Wan Muhammad Azri kerana menghina mahkamah selepas defendan menerbitkan satu video pada 8.30 malam, 1 Mei di TikTok (Papa Azri) dan YouTube (Sir Azri).
Plaintif mendakwa penerbitan video itu menunjukkan defendan sebenarnya langsung tidak berasa kesal melanggar injunksi mahkamah.
Plaintif berkata ia juga memberi gambaran seolah-olah defendan telah berjaya memperdayakan mahkamah untuk menerima permintaan maaf olehnya pada 30 April lepas dan memberi gambaran palsu kononnya plaintif telah memohon dan berniat jahat untuk memasukkan defendan ke Penjara Sungai Buloh.
"Kenyataan yang dikeluarkan defendan dalam video tersebut adalah bertentangan dengan kenyataan bertulis dan lisan permohonan maaf yang telah dipersetujui dan dibaca di hadapan mahkamah pada 30 April seperti dalam perintah komital tersebut," kata Razarudin dalam permohonan itu.
Pada 10 Feb lepas, mahkamah memberi kebenaran kepada Razarudin untuk memulakan prosiding komital pertama terhadap Wan Muhammad Azri kerana didakwa tidak mematuhi perintah injunksi pada 10 Jan dengan membuat hantaran terhadap Razarudin di aplikasi YouTube, TikTok, X serta Telegram.
Bagaimanapun pada 30 April, Wan Muhammad Azri mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat kepada Razarudin kerana melanggar perintah injunksi itu.
Injunksi berkenaan melarang Wan Muhammad Azri atau wakilnya daripada menerbit atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin, sama ada dalam kapasiti rasmi sebagai KPN mahupun secara peribadi.
Ini termasuk secara bertulis, lisan, video, platform dalam talian atau aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram.
Mahkamah turut memerintahkan Wan Muhammad Azri untuk menarik balik dan memadam video yang dimuat naik pada 14, 15, 20 dan 22 Dis 2024 di akaun YouTube, TikTok, Facebook, Telegram dan X miliknya yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami