NATIONAL
KSN dahului senarai penerima darjah kebesaran Terengganu

Sultan Mizan berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hari ini. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hari ini mendahului senarai 130 penerima Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu, sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Hari Keputeraan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ringkasan AI
- Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, mendahului senarai penerima Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu, dengan anugerah Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri.
- Selain Shamsul Azri, beberapa tokoh lain turut menerima darjah kebesaran, termasuk Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Pengerusi Eksekutif Melati Ehsan Holdings Berhad, Tan Sri Yap Suan Chee.
- Sultan Terengganu turut berkenan mengurniakan pelbagai darjah kebesaran kepada 130 penerima, termasuk Darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) dan Darjah Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu, sebagai penghormatan kepada individu yang berjasa dalam pelbagai bidang.
Bagi pengurniaan Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (DSMZ) Yang Amat Terpilih yang membawa gelaran Datuk pula antara penerimanya ialah Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhammad dan konsultan perhotelan serta pelancongan sukan Abdul Rahman Zabidin.
Turut dianugerahkan DSMZ ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tuanku Nur Zahirah Toh Puan Seri Nur Rahmah Mohd Zin, Penaung Persatuan Amal dan Kebajikan Bencana Malaysia Datuk Wira Shaikh Abdul Halim Shaikh Salah Marie Alkathiri dan Pengerusi Eksekutif Medan Mutiara Sdn Bhd Datuk Mazli Mohan Alias.
Selain itu, Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) Yang Amat Dihormati yang juga membawa gelaran Datuk kepada 23 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Dr Azman Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ariffin Deraman dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti, dan Pembangunan Luar negeri Hanafiah Mat.
Antara penerima darjah kebesaran DPMT yang lain Ketua Hakim Syarie Terengganu Rosdi Harun bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Jelani Sulong, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd Burhanuddin Hilmi Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan.
Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih kepada 23 penerima, Setia Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (13 penerima), Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (21 penerima) dan Ahli Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (42 penerima).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami