KTMB tawar diskaun 30 peratus untuk ETS laluan selatan sempena Deepavali

KTMB menawarkan diskaun istimewa 30 peratus bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) sektor Selatan (KL Sentral-Kluang-KL Sentral) untuk pembelian tiket dari 20 Okt hingga 30 Nov sempena Deepavali. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menawarkan diskaun istimewa 30 peratus bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) sektor Selatan (KL Sentral-Kluang-KL Sentral) untuk pembelian tiket dari 20 Okt hingga 30 Nov sempena Deepavali.
Ketua Pegawai Teknikal KTMB yang menanggung tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata tawaran diskaun itu untuk perjalanan antara 24 Okt hingga 30 Nov dan penumpang boleh menikmatinya dengan menggunakan kod promosi GO2KLUANG30 semasa pembelian tiket.
"Sebanyak 5,000 kod promosi ditawarkan tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebagai persiapan menghadapi lonjakan permintaan musim perayaan, Ahmad Nizam berkata KTMB menyediakan 278,792 tiket untuk tempoh 16 hingga 26 Okt, merangkumi 124,908 tiket ETS, 46,684 tiket KTM Intercity (ERT, ES dan Shuttle Timuran) serta 107,200 tiket Shuttle Tebrau.Beliau berkata jumlah itu meliputi dua tren tambahan ETS bagi laluan KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral dari 17 hingga 22 Okt melibatkan 3,780 tiket tambahan yang mula dijual sejak 7 Okt.
"Inisiatif ini bukan sahaja bagi memenuhi keperluan perjalanan tinggi sempena Deepavali, tetapi juga sebagai usaha KTMB menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih selamat, selesa dan mampan," katanya.
Ahmad Nizam berkata KTMB juga menempatkan anggota polis bantuan dan petugas tambahan di stesen utama bagi membantu penumpang dan meningkatkan keselamatan platform.
Beliau juga menasihatkan penumpang tiba di stesen sekurang-kurangnya 30 minit lebih awal sebelum waktu berlepas kerana pintu masuk akan ditutup lima minit sebelum tren bergerak.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.ktmb.com.my atau menghubungi pusat panggilan KTMB menerusi talian 03-9779 1200.
Dalam kenyataan sama, KTM memaklumkan turut mengagihkan 1,000 pek Deepavali kepada penumpang perkhidmatan ETS dan KTM Komuter di Stesen KL Sentral serta Stesen Butterworth, Pulau Pinang sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia mereka.
Pek mengandungi murukku, kacang campur dan minuman itu disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan dan Pengerusi KTMB Datuk Ahmad Redza Abdullah serta Ahmad Nizam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami