MALAYSIA
Kubur Syamsul Haris akan digali secepat mungkin - Saifuddin

Saifuddin (foto) berkata proses berkenaan melibatkan satu prosedur serius yang perlu melalui beberapa peringkat. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggali semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, 22, secepat mungkin bagi menjalankan bedah siasat kedua susulan arahan Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada Selasa.
Ringkasan AI
- PDRM akan menggali semula kubur Syamsul Haris Shamsudin untuk bedah siasat kedua susulan arahan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
- Proses ini melibatkan majistret, pasukan perubatan, pegawai penyiasat dan pakar patologi, bagi mengenal pasti punca sebenar kematian ketika latihan PALAPES UTM.
- Ibu mangsa menuntut inkues selepas mendakwa terdapat kesan lebam dan kecederaan fizikal yang meragukan, bukan akibat serangan sawan seperti didakwa.
“Seperti kes adik Zara (Zara Qairina Mahathir) sebelum ini, apabila keputusan dibuat, polis segera memfasilitasi proses itu mengikut arahan yang diterima, malah dalam masa beberapa jam sahaja ia dapat diselesaikan,” jelas Saifuddin.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Dialog Khas PDRM 2025, di sini, pada Selasa.
Pada 28 Julai lalu, Syamsul Haris meninggal dunia ketika menjalani latihan PALAPES UTM di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor dengan sebab kematian yang belum jelas serta meragukan.
Penuntut semester dua, Ijazah Sarjana Muda Sekuriti Siber UTM yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu menyertai latihan PALAPES UTM bermula 26 Julai lepas.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, pada keesokan harinya.
Pada 19 Ogos lalu, ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mengemukakan permohonan di mahkamah menuntut bedah siasat kali kedua dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.
Ummu Haiman Bee mendakwa pada tubuh anaknya terdapat kesan lebam dan kecederaan seperti perbuatan secara fizikal dan bukan kecederaan akibat serangan sawan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami