Kuih yang dijual di sebuah gerai di Siputeh, Batu Gajah sehingga menyebabkan ramai mengalami keracunan makanan dikenal pasti terdedah kepada racun.

Mengesahkan demikian, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata sampel kuih itu telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengenalpasti jenis racun dan punca ia merebak pada makanan tersebut.

Katanya, selain kuih, sampel rumput, tong semburan dan racun yang terletak berhampiran gerai itu juga telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

BACA: 'Saya berpeluh-peluh dan hampir pitam' - Mangsa keracunan Batu Gajah

BACA: Keracunan di Batu Gajah: Pesakit menunjukkan reaksi positif, semakin pulih - Dr Mah

"Kita juga mengambil barangan lain untuk dijadikan sampel antaranya pisau, darah, senduk, papan pemotong serta beberapa jenis makanan termasuk nasi lemak, kuih, sambal dan air," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Selain itu, Mah berkata setakat pukul 12 tengah hari tadi seramai 84 orang telah menjalani pemeriksaan dan rawatan di beberapa hospital.

Katanya daripada jumlah itu, enam dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini dengan tiga daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi sejak Jumaat, 11 Mac.

Sementara itu, lima lagi ditahan di Hospital Batu Gajah, manakala seorang masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Ipoh, katanya.