Selepas kira-kira tujuh bulan menerajui pentadbiran negara dengan usaha ditumpukan kepada menangani rasuah dan salah guna kuasa, kerajaan Pakatan Harapan (PH) semakin yakin usaha mereka ke arah itu mula menunjukkan kejayaan.

Begitu juga dengan isu kebebasan bersuara yang turut menunjukkan hasil positif.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan dengan anggota Kabinet sekarang yang masih baharu perlu diberi peluang untuk membaiki prestasi mereka.

"Rungutan tentang rasuah tak berapa dengar dah... tak ada laporan. Sekarang orang rasa lega. Itu kejayaan. Kita bagi confident (keyakinan) kepada rakyat, dia boleh berniaga, dia boleh bergerak, dia boleh berkawan dan bercakap dengan sesiapa," katanya dalam temu bual dengan beberapa media di pejabat beliau di sini.

Katanya PH telah dapat menyusun kerajaan dengan baik melibatkan lima parti politik yang baru bekerjasama dalam kabinet, satu perkara yang tidak mudah untuk dilakukan.

"Kami bukan dari dulu bersatu, saya 'orang luar' diterima sebagai perdana menteri. Orang tidak boleh nafikan kita ada kerajaan yang berfungsi. Kita capai banyak kemajuan. Walaupun sukar tetapi kerajaan hari ini dapat berfungsi," katanya.

Katanya walaupun kerajaan dan negara berdepan dengan kekurangan wang, kerajaan mentadbir dengan baik sehingga mampu memberi keyakinan kepada orang luar.

"Orang asing pandang tinggi kepada pencapaian kita... tetapi kita (orang Malaysia) mungkin nak segera dalam masa enam, tujuh bulan terus tak ada masalah. Macam mana tak ada masalah sebab kita hutang RM1 trilion.

"Kalau gaji RM4,000 tapi hutang RM50,000 boleh ke tak ada masalah? Tentu ada masalah, dulu kita tak pernah hutang sebanyak itu. Masa saya dulu (menjadi perdana menteri kali pertama) tak pernah, masa Tun Hussein Onn, masa Tun Abdul Razak (Hussein), masa Tunku Abdul Rahman tak pernah hutang banyak macam itu. Kita hutang tetapi setakat yang kita mampu bayar. Ini hutang sampai tidak boleh bayar," katanya.

Dr Mahathir berkata disebabkan masalah itu, kutipan hasil kerajaan banyak digunakan untuk membayar hutang sehingga jumlah yang tinggal tidak banyak untuk pembangunan dan bantuan kepada rakyat.

"Berkenaan soal kewangan kita percaya akan dapat kurangkan hutang yang banyak. Kita akan tolong orang miskin tetapi takkan beri secara umum kepada semua orang sebab hendak dapatkan sokongan mereka

"Kita kekurangan wang tetapi negara dapat perkenalkan bajet lebih besar daripada 2018. Kita dah buat macam-macam benda. Kita tak boleh cerita semua yang kita buat kepada rakyat. Sesetengah yang kita buat kalau cerita 'the market reacts very negatively' (pasaran akan memberi reaksi negatif).

"Kita kena jaga pasaran juga. Kita kena jaga supaya foreign direct investment (pelaburan langsung asing) dan local investment (pelaburan tempatan) will go on (akan berterusan). Tapi kena cakap dengan cara yang tertib supaya kita tidak menyebabkan benda yang negatif berlaku kepada kita," katanya.

-- BERNAMA