Kutipan Zakat Melaka (ZM) meningkat kepada lebih RM16.87 juta untuk tempoh antara 1 Jan lepas hingga semalam, berbanding lebih RM15.31 juta untuk tempoh sama tahun lepas.

ZM dalam kenyataan hari ini berkata bilangan pembayar zakat juga meningkat kepada 71,891 orang berbanding 63,175 orang bagi tempoh sama tahun lepas.

Katanya daripada jumlah itu zakat pendapatan mencatat kutipan tertinggi iaitu lebih RM8.52 juta dengan sejumlah 67,991 pembayar zakat, manakala kutipan terendah melibatkan zakat ternakan sebanyak RM15,410 dengan 10 pembayar zakat.

"Selain itu, zakat wang simpanan lebih RM4.7 juta telah dibayar oleh 2,796 pembayar, zakat perniagaan lebih RM2.9 juta dibayar 565 peniaga, zakat saham RM542,353.05 dengan 199 pembayar.

"Zakat emas perak RM156,556.18 dengan 285 pembayar, zakat pertanian RM16,575 dengan 45 pembayar," menurut kenyataan yang diedarkan ZM pada Majlis Penyerahan Zakat Agensi Korporat disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Pada majlis itu ZM menerima bayaran zakat perniagaan daripada tujuh agensi korporat dengan jumlah keseluruhan RM2.14 juta di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Agensi yang menyerahkan zakat hari ini Lembaga Tabung Haji, Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka, Bank Islam Malaysia Bhd, Fazil Shafie Associates Sdn Bhd, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka serta Melaka Bekal Sdn Bhd.

-- BERNAMA