Malaysia akan mengalami gelombang politik baru yang lebih aman jika Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding dalam pilihan raya, kata Ketua Penerangan PAS.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Datuk Mahfuz Omar ahli Parlimen Pokok Sena itu berpendapat, penglibatan Umno dalam mana-mana pilihan raya hanya akan mencetuskan perpecahan di kalangan masyarakat.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mengulas tentang keputusan Majlis Tertinggi Umno pada Rabu yang mengumumkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada 22 Mac.

“Dengan keputusan yang dibuat ini, PAS berharap agar Umno tidak lagi menghantar calon di dalam mana-mana pilihanraya kecil mahupun pilihanraya umum kerana ia secara tidak langsung mengakui Umno lah punca utama perpecahan yang berlaku di dalam kalangan masyarakat.

“Apabila Umno bertanding di dalam pilihanraya, suasana perpecahan dan perbalahan sering berlaku kerana Umno sering memanipulasikan jentera kerajaan untuk kepentingan partinya sahaja dan sekaligus mewujudkan padang permainan yang tidak rata,” dakwa beliau dalam kenyataannya.

Bagaimanapun, Mahfuz berkata PAS menyambut baik keputusan yang dibuat oleh Umno itu serta menghormati keputusan tersebut.

“Umno bolehlah meneruskan agenda perjuangan parti mereka dengan menceburi lapangan dan bidang yang lain selain politik.

“Pastinya, Malaysia akan mengalami politik baru yang lebih aman-damai tanpa perlunya lagi Umno-BN bertanding di dalam pilihanraya … Malaysia baru tanpa Umno. Terima kasih PM,” katanya lagi.

BN mengesahkan tidak akan meletakkan calonnya dalam PRK DUN Chempaka yang ditetapkan pada 22 Mac.

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang dipengerusikannya, pada Rabu malam.


Antara sebab yang dinyatakan termasuk ingin memberi tumpuan kepada bantuan banjir serta usaha-usaha untuk menyatukan ummah.

Tambah Najib, keputusan itu dibuat setelah meneliti pandangan daripada UMNO Kelantan dan Bahagian Pengkalan Chepa.

Kerusi DUN Chempaka dikosongkan selepas penyandangnya iaitu Bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia, 12 Februari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon DUN N06 pada 10 Mac, pengundian awal pada 18 Mac dan hari pembuangan undi empat hari selepas itu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Nik Aziz mengalahkan calon BN Wan Razman Wan Abd Razak dengan majoriti 6,500 undi.