Laluan berbasikal dari Mid Valley ke Dataran Merdeka yang bakal dilancarkan pada minggu hadapan akan memberikan pengguna satu alternatif selain menaiki kereta sendiri atau perkhidmatan pengangkutan awam untuk masuk ke pusat bandar.

Pengasas kumpulan Kayuh Kuala Lumpur (Cycling Kuala Lumpur) Jeffrey Lim berbangga kerana maklumat yang dikumpul selama ini oleh beliau dan juga orang awam kini digunapakai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk merealisasikan projek ini.

Bukan untuk sekadar aktiviti riadah, Jeffrey yang ditemui selepas mesyuarat bersama DBKL pagi tadi berkata kemudahan ini untuk mereka yang ingin pergi bekerja dengan mengayuh basikal.

“Projek ini dipilih oleh DBKL kerana ia mempunyai impak yang besar dengan kos yang rendah. Laluan Mid Valley ke Dataran Merdeka merupakan salah satu dari enam laluan ke pusat bandar yang akan dibina secara berperingkat.

“Pengguna dari Klang, Subang Jaya, Sunway dan Petaling Jaya boleh menggunakan laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan dan terus masuk ke laluan basikal ini untuk masuk ke pusat bandar.

Basikal
Jeffrey (kanan) bersama rakan-rakan menggunakan basikal sebagai mod pengangkutan . - Astro AWANI/Syafique Shuib

Walaupun trend untuk kayuh basikal agak lambat untuk diterima di Malaysia berbanding negara-negara lain, namun ini merupakan langkah pertama oleh DBKL untuk menyediakan ibu negara Kuala Lumpur agar lebih mesra buat pengguna basikal.

“Ini baru sahaja permulaan dan banyak lagi cabaran. Contohnya mengenai laluan khas. Kini masih belum cukup pengayuh basikal untuk DBKL menggazetkan laluan khas ini.

“Perlu juga ada dasar-dasar dari pelbagai pihak seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Kementerian Pengangkutan, Kementerian Wilayah Persekutuan. Perlu ada kerjasama daripada pelbagai jabatan. Setakat ini, ia merupakan projek DBKL. Perlu ada inisiatif untuk memasukkan basikal sebagai satu alternatif dalam dasar pengangkutan negara.

Ini kerana berbasikal adalah saling berkait dengan sistem pengangkutan sedia ada.

“Kita perlu tahu bagaimana sistem ini berfungsi dengan sistem pengangkutan sedia ada. Contohnya, bolehkah basikal dibawa masuk ke dalam tren, bas dan teksi? Kayuh basikal mungkin satu alternatif tetapi ia juga berhubung kait dengan sistem lain.

Basikal
Peta Basikal diterbiktan oleh kumpulan Cycling Kuala Lumpur. -Gambar: cyclingkl.blogspot.com

Pada Januari, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata projek ini dilaksanakan susulan sambutan hangat daripada program KL Car Free Morning.

Selain laluan Mid Valley ke Dataran Merdeka, antara laluan lain yang bakal dilaksanakan adalah laluan dari Wangsa Maju dan Batu namun ini merupakan laluan tempatan.