KUALA LUMPUR: Tujuh individu termasuk seorang wanita ditahan selepas menghadiri majlis hari jadi dan terlibat penggunaan dadah di sebuah kondominium mewah di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, kesemua mereka berusia di antara 21 dan 37 tahun ditahan pada jam 2 pagi, Selasa.

"Polis menerima aduan awam terdapat sebuah rumah mengadakan aktiviti berkumpul dan pemeriksaan mendapati majlis hari jadi sedang berlangsung ketika itu.

"Polis turut menemui dadah disyaki syabu seberat 4.42 gram dan satu paket berisi tujuh biji pil Yaba seberat 0.72 gram.

"Kesemua suspek masing-masing dikompaun RM4,000 kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) mengikut Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati lima suspek termasuk wanita positif dadah.

"Lima suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah dadah manakala dua lagi tidak mempunyai sebarang rekod.

"Kesemua mereka direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.