ALOR SETAR: Daerah Langkawi dan Pokok Sena mengalami cuaca panas tahap satu iaitu selepas mencatat suhu harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Sehubungan itu, Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mengelak dari terdedah dengan aktiviti luar berikutan cuaca panas yang melanda ketika ini.

“Pada ketika ini, dua daerah Langkawi dan Pokok Sena kini mengalami mengalami cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) yang direkodkan tiga hari berturut-turut.

“Suhu maksimum harian di daerah terbabit adalah antara 35-37 darjah Celsius. Stesen Kaji Cuaca turut merekodkan Langkawi tidak menerima hujan lebih daripada 20 hari," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.



Muhammad Khalil turut menasihatkan orang ramai terutama golongan petani supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka ketika ini.

Katanya, ketika ini berlaku peralihan Monsun Timur Laut dan cuaca kering serta angin bertiup kencang ini dibimbangi api akan merebak dengan cepat sekiranya terbakar.

“Sebarang aktiviti pembakaran terbuka perlu dielakkan waktu ini kerana tidak sesuai ketika musim kering disebabkan haba panas dan angin kencang ketika ini.

“Cuaca panas ini dijangkakan akan berlaku hingga hujung Mac atau awal April apabila fasa peralihan monsun berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) turut memaklumkan dua lagi daerah mengalami cuaca panas iaitu Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang.

Kedua-dua daerah terbabit mencatatkan suhu maksimum 37 darjah Celsius bagi tempoh tiga hari berturut-turut dan diletak dalam keadaan berjaga-jaga.

Selain cuaca panas tahap satu, MetMalaysia mengklasifikasi suhu antara 37 hingga 40 darjah celsius sebagai tahap dua dan lebih 40 darjah Celsius sebagai tahap tiga.