SUBANG JAYA: Tindakan memecut kenderaan untuk melarikan diri daripada pihak polis membawa padah apabila kereta dinaiki sekumpulan individu termasuk kanak-kanak terbabas dalam kejadian di susur keluar Putra Heights, Lebuhraya Elite di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.05 pagi itu, kenderaan polis terserempak dengan kereta dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota polis kemudian mengekori kenderaan suspek sambil membunyikan siren serta menyalakan lampu biru untuk mengarahkan suspek supaya berhenti bagi tujuan pemeriksaan.

"Bagaimanapun, suspek enggan berhenti dan cuba melarikan diri dengan memecut laju kenderaan yang dinaiki sehingga melanggar palang Plaza Tol Seafield menuju ke Lebuhraya Elite," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, kenderaan suspek kemudiannya terbabas ketika melalui susur keluar Putra Heights.

"Pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut dinaiki dua lelaki dan seorang wanita berumur di antara 20 hingga 30-an dan seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun.

"Tiga suspek mengalami kecederaan parah kemudiannya dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, semakan dijalankan mendapati kesemua suspek terlibat mempunyai rekod jenayah lampau.

"Salah seorang suspek masih dikehendaki dalam kes dadah di daerah Hulu Selangor.

"Buat masa ini kesemua suspek masih belum ditangkap kerana masih dalam keadaan tidak sedarkan diri dan menerima rawatan di hospital," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 / 279 Kanun Keseksaan. -Sinar Harian