Skip to main content

Malaysia

Laut China Selatan: Malaysia pilih jalur diplomasi, kekuatan tentera terus diperkukuh - PM

Menurut Anwar Ibrahim, pendekatan diplomasi kekal menjadi keutamaan Malaysia dalam menguruskan sebarang konflik dengan negara jiran, termasuk China, bagi mengelakkan ketegangan hubungan serantau. -Gambar Astro AWANI
Menurut Anwar Ibrahim, pendekatan diplomasi kekal menjadi keutamaan Malaysia dalam menguruskan sebarang konflik dengan negara jiran, termasuk China, bagi mengelakkan ketegangan hubungan serantau. -Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengutamakan pendekatan diplomasi dalam menangani isu Laut China Selatan, namun tidak akan mengabaikan kesiapsiagaan ketenteraan bagi melindungi kedaulatan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan diplomasi yang diketengahkan Malaysia dalam menguruskan konflik dengan negara jiran bertujuan mengelakkan ketegangan hubungan serantau.

“Malaysia ini negara maritim, kita ada masalah dengan semua negara jiran di sempadan. Tetapi masalah itu tidak bermakna kita bermusuh atau menyebabkan ketegangan hubungan.

Advertisement

“Keselamatan negara ini mesti dikawal melalui hubungan baik. Itu yang pertama,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Keselamatan Negara 2026-2030, di sini, pada Khamis.

Menurut Anwar, pendirian Malaysia itu selari dengan pendekatan ASEAN yang mahu isu Laut China Selatan ditangani menerusi rundingan berterusan bersama China, termasuk usaha memuktamadkan Kod Tatalaku (Code of Conduct – COC).

Advertisement

Katanya lagi, dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 pada November, beliau turut mengulangi pendirian berkenaan dan menerima maklum balas positif daripada Perdana Menteri China, Li Qiang, berhubung usaha mempercepat penyelesaian COC.

“Jawapan daripada Premier Li Qiang itu jelas. Ya, negara China setuju untuk meningkatkan dan cuba menyelesaikan apa yang dikatakan Code of Conduct,” ujarnya.

Jelas Anwar, COC berkenaan perlu berlandaskan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982) sebagai kerangka perundangan antarabangsa.

Bagaimanapun, Anwar berkata, perkembangan positif dalam rundingan diplomatik tidak bermakna semua pihak boleh berasa selesa atau menganggap isu keselamatan maritim sudah selesai.

“Saya memilih jalur diplomasi walaupun saya setuju dengan apa yang digesa oleh Kementerian Pertahanan supaya kita tambah kekuatan, kita siap siaga untuk menjaga kepentingan negara kita,” katanya.

Tegas Anwar, Dasar Keselamatan Negara 2026-2030 perlu dihayati semua agensi berkaitan, termasuk sektor awam dan pihak penguat kuasa, bagi memastikan pendekatan keselamatan negara dilaksanakan secara menyeluruh.

Must Watch Video

Advertisement