Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Zahid serah keputusan kedudukan MB Negeri Sembilan kepada istana

Ahmad Zahid (foto) berkata pertemuan pimpinan tertinggi Barisan Nasional berlangsung dalam suasana tenang dan sebarang keputusan akan dimuktamadkan melalui kenyataan rasmi istana. -Foto Astro AWANI
Ahmad Zahid (foto) berkata pertemuan pimpinan tertinggi Barisan Nasional berlangsung dalam suasana tenang dan sebarang keputusan akan dimuktamadkan melalui kenyataan rasmi istana. -Foto Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Istana Negeri Sembilan untuk mengumumkan keputusan hasil pertemuan bersama Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
  • Pertemuan pimpinan tertinggi Barisan Nasional berlangsung dalam suasana tenang dan sebarang keputusan akan dimuktamadkan melalui kenyataan rasmi istana.
  • Isu pelantikan Menteri Besar dan barisan Exco baharu juga akan diumumkan oleh pihak istana dalam masa terdekat.
Advertisement

SEREMBAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan sepenuhnya kepada Istana Negeri Sembilan untuk mengumumkan keputusan hasil pertemuan bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada Khamis.

Beliau berkata pertemuan yang turut disertai beberapa pemimpin tertinggi BN itu berlangsung dalam suasana tenang.

Menurutnya, sebarang keputusan yang dicapai akan dimuktamadkan menerusi kenyataan rasmi pihak istana.

Advertisement

“Biarlah kenyataan daripada istana itu sebagai memuktamadkan keputusan yang telah kami sama-sama persetujukan,” katanya ketika ditemui selepas selesai menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, di sini.

Mengulas lanjut mengenai kemungkinan pelantikan Menteri Besar baharu, Ahmad Zahid berkata perkara itu juga terserah kepada pihak istana untuk membuat pengumuman rasmi.

Advertisement

Bagaimanapun, beliau memberi bayangan bahawa penyelesaian kemelut politik negeri itu dijangka diketahui dalam masa terdekat.

"Insya-Allah dalam masa terdekat," katanya.

Ditanya sama ada perkara itu turut melibatkan pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa sebarang kenyataan mengenai perkara tersebut akan dibuat oleh pihak istana.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Barisan pimpinan tertinggi BN meninggalkan Istana Hinggap kira-kira jam 4.15 petang selepas mengadakan sesi menghadap sejak 3 petang.

Pertemuan itu berlangsung selepas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh terlebih dahulu menghadap Tuanku Muhriz pada jam 1.18 petang.

Pertemuan itu merupakan sesi menghadap ketiga Ismail dengan Tuanku Muhriz sejak kemelut berkaitan kedudukannya sebagai Menteri Besar tercetus pada 16 November lalu.

Bagaimanapun, kenderaan yang membawa Ismail sekali lagi dilihat memasuki Istana Hinggap pada jam 4.25 petang kira-kira 10 minit selepas Ahmad Zahid meninggalkan Istana berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement