Lebih banyak program transformasi yang memberi manfaat kepada rakyat akan dilaksanakan di masa hadapan.

Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap kerajaan akan terus diberi mandat agar lebih banyak perubahan besar dapat dilakukan.

“Sebagai sebuah kerajaan, kita memang ada visi yang besar untuk negara kita dan kita mempunyai perancangan yang cukup rapi.

"Kita juga ada kemampuan untuk melaksanakan pelan transformasi untuk negara kita sebab itulah dalam beberapa tempoh beberapa tahun akan datang akan berlaku banyak perubahan pada negara kita. Jika kita mendapat mandat kita hendak buat perubahan besar. Kita perlu kepada mandat daripada rakyat,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah PPR Bukit Nanas, Tepoh, di sini hari ini.

Sementara itu Perdana Menteri turut memaklumkan akan berkunjung ke China pada bulan hadapan untuk berunding mengenai projek pembinaan landasan kereta api Pantai Timur yang merentasi tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Beliau berkata akan berusaha sedaya upaya agar pembinaan landasan itu dapat dilaksanakan pada tahun ini sekaligus diharap mampu melonjakkan ekonomi tiga negeri terbabit sebanyak 1.5 peratus.

Sekiranya rundingan dengan China itu membuahkan hasil, rakyat di negeri Pantai Timur akan mendapat pelbagai manfaat dengan penyediaan peluang pekerjaan serta kepesatan pembangunan aktiviti ekonomi.

Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) kini masih dalam perancangan awal di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

Ia adalah antara komponen utama di dalam projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor.

Projek ini dijangka akan menjadi pemangkin ekonomi untuk kawasan yang terlibat terutamanya kawasan industri seperti Gebeng, Pelabuhan Kuantan dan juga industri petroleum di Terengganu.

Ia juga akan menjadi alternatif kepada sistem pengangkutan awam ke Pantai Timur dengan tempoh perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan dapat dipendekkan.