AMPANg: Seorang lelaki yang memiliki 12 rekod jenayah diberkas kerana disyaki membaling batu sehingga cermin kereta jirannya pecah di Taman Muda, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail berkata, mangsa yang juga seorang kontraktor memaklumkan perbuatan jirannya itu dalam kejadian pada jam 5 petang.

"Suspek disyaki telah membaling batu menyebabkan cermin pintu sebelah kiri pecah dan cermin sisi kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza itu patah, anggaran kerugian kira-kira RM1,000," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Azam berkata, pihaknya telah menahan suspek berusia 33 tahun pada jam 7.20 malam, Ahad.

"Semakan mendapati suspek mempunyai 12 rekod lampau termasuk tiga rekod masih dikehendaki kesalahan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya. - Sinar Harian