KUALA LUMPUR: Seorang bekas penyelia syarikat pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas 11 pertuduhan kes rasuah berhubung 6,051 tiket penerbangan umrah, sejak empat tahun lalu.

Muhammad Fariz Jamaluddin, 35, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa secara rasuah meminta dua telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Z Fold 4 dan iPhone 14 Pro Max yang kedua-dua item itu berharga RM15,598.

Bagi pertuduhan ketiga hingga ke-11, tertuduh didakwa menerima kedua-dua telefon bimbit tersebut, wang tunai RM110,280 dan satu set lensa kamera bernilai RM6,600.

Tertuduh meminta dan menerima rasuah daripada tiga pengarah urusan syarikat pelancongan lain yang mana ia sebagai upah tertuduh membantu mendapatkan tiket penerbangan Saudi Airlines bagi urusan jemaah mengerjakan umrah.

Kesalahan didakwa dilakukan di beberapa lokasi termasuk rumah tertuduh di ibu negara, antara 16 Disember 2019 hingga 7 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM70,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

“Jumlah jaminan itu sesuai dan wajar, tertuduh juga tidak boleh berinteraksi dengan saksi pendakwaan sehingga kes selesai,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Faris, Ridha Abdah Subri merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum dengan dua penjamin, namun tidak membantah syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

“Jumlah jaminan itu mengambil kira keadaan kewangan anak guam yang adalah penanggung tunggal keluarga termasuk dua anak berusia lapan serta lima tahun.

“Tertuduh sudah bercerai dengan isteri pada tahun lalu, manakala bapa meninggal dunia pada 2016 dan ibunya yang uzur,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Azura membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin serta memenuhi syarat tambahan berkenaan.

Mahkamah menetapkan 18 September depan untuk sebutan semula kes. - Sinar Harian