Skip to main content

Malaysia

Lelaki keluar cari ketam nipah ditemukan lemas

[TB]_Dungun meninggal dunia kawasan paya_Facebook Jabatan Amal DUN Paka
Seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah selepas keluar menangkap ketam nipah ditemukan meninggal dunia di kawasan paya. - Gambar Facebook Jabatan Amal DUN Paka
Advertisement

DUNGUN: Seorang lelaki ditemukan lemas hari ini, selepas dikatakan keluar untuk menangkap ketam nipah di kawasan paya di Kampung Tebing Tembah, Paka di sini semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paka Pegawai Bomba Kanan II Irwan Rashid berkata operasi mencari dan menyelamat Mohd Afiq Ahmad, 36, digerakkan selepas pihaknya menerima laporan pada 7.21 pagi tadi. 

“Mangsa dilaporkan keluar rumah pada 10 pagi semalam untuk mengangkat perangkap ketam nipah di paya itu. 

“Bomba melakukan pencarian di kawasan paya berdasarkan maklumat diterima sebelum mangsa ditemukan pada 10 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Sementara itu, abang ipar mangsa Mohd Hafis A Talib, 47, berkata Mohd Afiq yang tinggal di Kampung Mengabang Lekor, Batu Rakit, Kuala Nerus, datang ke rumahnya di Kampung Tebing Tembah pada tiga minggu lepas bersama-sama ibunya.

“Mangsa keluar untuk menangkap ketam nipah di paya yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari rumah saya bagi mengisi masa lapang,” katanya semasa ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun.

Mohd Hafis berkata membuat laporan polis pada 11 malam tadi selepas adik iparnya tidak pulang ke rumah kerana bimbang dengan keselamatan Mohd Afiq yang mempunyai penyakit sawan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement