YAN: Seorang lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh ketika menunggang motosikal di Batu 22, Jalan Teroi-Yan, pada Ahad.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Yan Anis Suraya Ahmad, bermula hari ini sehingga 9 Feb, untuk polis melengkapkan siasatan.

Penahanan suspek bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Semalam, Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar Haji memaklumkan, lelaki berusia 26 tahun yang juga duda itu ditahan di Jalan Guar Cempedak pada jam 5.45 petang Ahad.

Katanya, suspek ditahan susulan seorang wanita yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi Ahad, dua wanita yang sedang menaiki motosikal dihampiri sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggangi seorang lelaki dengan melakukan aksi lucah sambil menunjukkan kemaluannya.

Dua wanita masing-masing berusia 27 dan 20 tahun itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Keda, Sungai Udang selepas selesai menghadiri kursus di Guar Cempedak.

“Setiba di Jalan Teroi-Yan, seorang lelaki menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 tanpa nombor pendaftaran menghampiri mangsa membuka zip seluar dan memegang kemaluannya.

"Perbuatan suspek berjaya dirakam salah seorang wanita yang membonceng motosikal terbabit,” katanya.