KLANG: Seorang lelaki yang sebelum ini tular kerana cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Persiaran Hamzah Alang, Meru pada Isnin lepas, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Majistret Siti Zubaidah Mamat menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Shahrudin Saad, 45, dan memerintahkan penganggur itu dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, Shahrudin dengan sengaja menghalang Koperal Mohd Fareth Abdul Hadi daripada menjalankan tugasnya pada kira-kira 6.10 petang, 24 Ogos lepas di Jalan Persiaran Hamzah Alang menghala ke Pekan Meru, di sini.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam K. Nathiya yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan denda minimum dengan mengambil kira keadaan anak guamnya yang tidak bekerja serta mempunyai tujuh anak dengan lima daripadanya masih bersekolah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Salman Alfarisi Nawawi.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu bersama seorang lagi anggota polis yang sedang menjalankan rondaan di kawasan pentadbiran Balai Polis Meru menggunakan kereta peronda, ternampak sebuah Toyota Vellfire berwarna hitam yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Pengadu kemudian mengarahkan pemandu kenderaan itu berhenti dengan menyalakan lampu beacon dan siren, namun lelaki berkenaan cuba melarikan diri dan memandu secara agresif menuju Jalan Persiaran Hamzah Alang menghala ke Pekan Meru.
Ketika dikejar, kenderaan berkenaan melanggar bahagian bumper hadapan sebelah kiri kereta peronda sebelum berjaya ditahan dan pemeriksaan badan terhadap tertuduh tidak menemui barang salah, namun semakan sistem mendapati dia mempunyai satu rekod dikehendaki.
-- BERNAMA