SHAH ALAM: Bekalan dadah jenis ganja hidroponik yang cuba diseludup seorang lelaki Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, India dipercayai diperoleh dari Thailand.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah mendapatkan maklumat terperinci mengenai individu berkenaaan.
"Maklumat itu antaranya meliputi identiti termasuk jadual masa penerbangan. Dia (suspek) bawa dadah itu dari Bangkok. Jadi, kita percaya dia ambil bekalan dari negara itu.
"Kita akan pantau daripada segi sama ada dia melibatkan sindiket di Malaysia atau keldai dadah yang direkrut di Thailand atau negara ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Selasa.
Hussein berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya akan melihat faktor-faktor berkenaan.
Terdahulu, beliau mengesahkan seorang lelaki berusia 54 tahun dari Perak ditahan pihak berkuasa India di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, Sabtu lalu, kerana disyaki menyeludup empat kilogram ganja hidroponik.
Suspek ditahan sebaik tiba di lapangan terbang berkenaan menerusi penerbangan Thai Airways TG 337 dari Bangkok, Thailand.
Pemeriksaan teliti pihak Kastam Chennai ke atas bagasi suspek menemui sejumlah dadah jenis ganja hidroponik yang disembunyikan dalam bagasi berkenaan.
Suspek kini ditahan reman oleh pihak Kastam India untuk siasatan lanjut di bawah perundangan tempatan dan akan disiasat di bawah Narcotics Drugs and Psychotropic Substances (NDPS) Act 1985 sementara menunggu perbicaraan kes.
Di bawah NDPS Act 1985 yang dikuatkuasakan di India, kesalahan menyeludup atau memiliki dadah dalam jumlah komersial memperuntukkan hukuman penjara mandatori antara 10 hingga 20 tahun serta denda yang tinggi sekiranya disabitkan kesalahan.
Sementara itu, menurut Hussein, pihaknya menerima maklumat rasmi berhubung penahanan suspek daripada Biro Kawalan Narkotik (Narcotics Control Bureau - NCB) India.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM). -Sinar Harian