KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas ke dalam gaung di Kilometer 27.4 Lebuhraya Kuala Lumpur menghala ke Karak, awal pagi ini.
Menurut Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.47 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang digerakkan ke lokasi kejadian.
Advertisement
Katanya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung.
“Terdapat empat mangsa lelaki yang tersepit di dalam kenderaan dan kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.
"Tiga daripada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan, manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.