Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di Pekan Trolak, dekat sini, malam tadi.

Pemandu kereta Proton Saga BLM, Nur Shafik Hasrul Nuruddin, 29, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya Mohd Ramadhan Abu Bakar, 26, mengalami kecederaan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 7.04 malam.

“Anggota menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa tersepit sebelum menyerahkannya kepada pihak polis dan ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke arah utara sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbabas.

Operasi menyelamat yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Fazrul Azuan Norman tamat pukul 8.05 malam.