KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam tangki penyimpanan air di Kuala Langat Power Plant, Kuala Langat, malam tadi.
Mangsa, Farhan Syazwan, 34 tahun, merupakan pekerja kontrak yang sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di lokasi berkenaan ketika kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.26 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting tiba di lokasi pada 7.49 malam.
Beliau berkata mangsa ketika kejadian sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan bagi menggantikan kayu di menara penyejuk (coolant tower) bersama seorang rakan sekerja.
"Rakan mangsa keluar dari lokasi untuk mengambil kayu dan kira-kira 15 minit kemudian apabila kembali, mangsa sudah tidak kelihatan.
"Pada awalnya rakannya menyangka mangsa pergi ke tandas sebelum mengesyaki mangsa berkemungkinan terjatuh selepas tidak muncul," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata rakan mangsa kemudian memaklumkan perkara itu kepada penyelia sebelum pemeriksaan dilakukan dan mangsa dipercayai terjatuh ke dalam tangki penyimpanan air.
"Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu Unit Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) dari BBP KLIA dan BBP Pelabuhan Klang, membabitkan keseluruhan 12 anggota.
"Kolam pertama berjaya dikosongkan namun mangsa masih tidak ditemui sebelum kerja-kerja mengosongkan kolam kedua menggunakan sebuah unit Hydrosub dijalankan.
"Mangsa akhirnya ditemui pada kira-kira 4 pagi selepas kerja-kerja menyedut air di kolam kedua yang berkedalaman 10 meter berjaya dilakukan," katanya.
Beliau berkata anggota bomba kemudian turun ke dalam kolam dan membawa mangsa ke permukaan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.