Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap dua pertuduhan membabitkan transaksi pengubahan wang haram bernilai RM16,000 pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, Rosyizwan Jali, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa terbabit dalam transaksi pengubahan wang haram dengan melupuskan wang RM6,000 daripada akaun Maybank miliknya hasil daripada aktiviti haram di Maybank Jalan Mahmood, pada 14 hingga 14 Disember tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa terbabit dalam transaksi pengubahan wang haram dengan memindahkan wang RM10,000 daripada Maybank miliknya kepada penama akaun Maybank, Adi Makram Mohamad, 31, iaitu hasil daripada aktiviti haram.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut subseksyen (4)(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan dibaca bersama Seksyen 87(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu, pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM25,000 dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap 1 hari bulan.

Mahkamah menetapkan 14 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Chooi Yi dan tertuduh diwakili peguam, Nik Saiful Adli Burhan.