MALAYSIA
Lelaki mengamuk, libas parang ketika operasi meroboh struktur haram ditahan

Seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan selepas mengamuk dan melibas parang ke arah anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semasa operasi meroboh struktur haram di Desa Pandan, pagi tadi. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan selepas mengamuk dan melibas parang ke arah anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semasa operasi meroboh struktur haram di Desa Pandan di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata dalam kejadian 11.17 pagi itu, suspek yang memegang sebilah parang panjang telah datang dan membuat provokasi dengan melibas parang ke arah anggota penguat kuasa DBKL sambil memaki hamun.
"Kejadian berlaku ketika sepasukan polis bersama agensi penguat kuasa dari DBKL, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sedang menjalankan kawalan keselamatan dalam tindakan bersepadu meroboh struktur haram di atas siar kaki di Desa Pandan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata lelaki tersebut berjaya ditenangkan oleh beberapa orang awam yang berada di kawasan tersebut sebelum pihak polis merampas parang panjang milik suspek di sekitar lokasi kejadian."Susulan insiden itu, suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya.
Mohamad Lazim menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam dan menghentikan penularan kejadian itu di media sosial.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9281 0715 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami