GERIK: Seorang lelaki parah selepas diserang gajah liar ketika mencari 'port' buang air besar berhampiran Tugu Peringatan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini pada Khamis.

Dalam kejadian sekitar jam 7 malam, mangsa berusia 55 tahun singgah di lokasi tersebut kerana mengalami sakit perut sebelum terserempak dengan mamalia terbabit.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan kejadian tersebut.

"Akibat serangan itu, mangsa mengalami patah tulang kaki dan tujuh tulang rusuk.

"Mangsa menerima rawatan di Hospital Gerik sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Menurut Yusoff, lokasi kejadian merupakan kawasan keliaran dan lintasan gajah liar.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar tidak berhenti di kawasan hutan terutama pada waktu gelap dan mengambil perhatian berkaitan papan tanda yang memaklumkan kawasan hidupan liar. - Sinar Harian