KAJANG: Seorang lelaki rentung apabila kereta yang dipandu jatuh ke dalam cerun sebelum terbakar di Kilometer 290.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Kajang pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohd Nasir Drahman berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta jenis Mitsubishi Lancer hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Honda RS150 pada jam 2.40 petang.

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, kereta berkenaan telah terbabas melanggar pembahagi kiri jalan lebuh raya itu lalu terjatuh ke dalam cerun bukit sebelum terbakar.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di dalam kenderaan yang dipandu.

"Sementara penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan dibawa mendapat rawatan di Hospital Serdang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Nasir berkata, waris pemandu kenderaan yang terkorban telah berjaya dikesan oleh pihak polis dan urusan bedah siasat akan dijalankan di bahagian forensik Hospital Serdang pada Jumaat.

Tegas beliau, orang ramai diingatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian kemalangan tersebut.

"Siasatan terperinci sedang dijalankan pihak polis berhubung kemalangan maut itu.

"Pihak polis telah membuka kertas siasatan dan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor M Somasureshan di talian 016-4915193 atau menghubungi balai polis yang berdekatan di daerah Kajang bagi membantu siasatan.

- Sinar Harian