MALAYSIA
Lelaki tempatan ditahan cuba seludup empat ekor ungka di KLIA

AKPS memaklumkan kesemua haiwan itu ditemukan dalam bagasi suspek yang merupakan penumpang sebuah syarikat penerbangan ke Mumbai, India. - Sinar Harian
PUTRAJAYA: Seorang lelaki tempatan ditahan dipercayai cuba menyeludup keluar empat ekor ungka tangan hitam bernilai kira-kira RM30,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Jumaat lepas.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan memaklumkan kesemua haiwan eksotik berkenaan ditemukan dalam bagasi suspek berusia 34 tahun yang merupakan penumpang sebuah syarikat penerbangan ke Mumbai, India.
"Suspek ditahan di lokasi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Aeropolis untuk tindakan lanjut," menurut kenyataan itu hari ini.
AKPS memaklumkan haiwan berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008."Tangkapan itu hasil pelaksanaan pemeriksaan bersepadu yang diperketatkan sejak awal bulan ini bersama pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) dan Perhilitan dengan fokus membanteras penyeludupan spesies terancam, khususnya di sektor penerbangan berisiko tinggi.
"AKPS, AVSEC dan Perhilitan akan terus memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk utama KLIA dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyeludupan hidupan liar," menurut kenyataan itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami