Skip to main content

Malaysia

Lelaki warga Bangladesh cetus kekecohan di KLIA disyaki kurang siuman

81750758168_tbKLIA.jpg
Pihak keselamatan dan polis mengambil tindakan terhadap seorang lelaki warga Bangladesh yang mencetuskan kekecohan di KLIA Terminal 1 sebelum dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Bangladesh yang bertindak agresif dan mengganggu penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 17 Sept lalu disyaki mengalami masalah kesihatan mental.

Menurut Ketua Polis Daerah KLIA, ACP M Ravi, lelaki berusia 26 tahun itu dilaporkan menjerit dengan nada tinggi serta mengganggu penumpang di kaunter syarikat penerbangan kira-kira jam 4.40 petang.

Beliau berkata anggota kawalan keselamatan terminal yang tiba di lokasi berjaya menenangkan keadaan sebelum membawa lelaki terbabit ke Balai Polis Terminal 1 untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, ketika berada di bawah pemantauan, suspek didapati masih gagal mengawal dirinya dan terus bertindak agresif.

Menurut Ravi, lelaki berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan lanjut sebelum ditempatkan di Wad Psikiatri bagi menerima rawatan.

Siasatan mendapati suspek dijadual menaiki penerbangan pulang ke Bangladesh pada jam 10.20 malam pada hari kejadian.

Beliau berkata pihak Kedutaan Bangladesh turut dimaklumkan mengenai insiden tersebut.

Dalam pada itu, Ravi menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak benar berkaitan kejadian berkenaan.

Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan pengguna lapangan terbang khususnya di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.

Must Watch Video

Advertisement