IPOH: Lembah Lenggong dijangka akan mendapat pengiktirafan sebagai tapak UNESCO Global Geopark pada awal 2024.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, berkata pihaknya optimis dengan sasaran berkenaan berdasarkan perancangan dan gerak kerja yang sedang dijalankan.

"Kita baru sahaja mendapat pengiktirafan kebangsaan iaitu sebagai tapak Geopark Kebangsaan pada Disember 2021.

"Oleh kerana di Lenggong ada banyak ciri-ciri yang bertaraf antarabangsa dan menepati kriteria yang dikehendaki, maka Jawatankuasa Geopark Kebangsaan beri inisiatif untuk kita melangkah lebih jauh.

"Untuk itu tentu saja jawatankuasa ini akan menyediakan kertas cadangan terbaik.

"Selain itu kita berbincang dengan kerajaan negeri untuk merangka pelan bagi membolehkan Lenggong diiktiraf sebagai tapak UNESCO Global Geopark ketiga di negara ini, selepas Langkawi dan Kinabalu," katanya.

Beliau mengulas mengenai perkembangan status permohonan Lembah Lenggong sebagai tapak UNESCO Global Geopark.

Shamsul Anuar ditemui pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran 48-12 Hour Ironbound Adventure 1 National Series Lenggong 2022, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Geokomuniti Lenggong Geopark berkata, perancangan sudah dibuat bagi merealisasikan hasrat itu akan terlaksana tidak lama lagi.

Sebelum ini media melaporkan, Lenggong mampu ke hadapan dalam pelbagai sektor susulan pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan yang baharu selain memberi impak besar kepada penduduk dan negeri Perak.

BACA: Ulang tahun Lembah Lenggong: Kesan limpah dirasai rakyat, kini tumpuan arkeologi dunia

Dokumentari Khas | Ada apa di Lenggong?