KUALA LUMPUR: Kertas siasatan terhadap lapan pengikut fahaman The Ahmadi yang melakukan perhimpunan berkaitan hak-hak lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) di depan kompleks beli-belah Sogo pada 29 Julai lepas, telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kesemua lapan suspek berumur 18 hingga 56 tahun itu, bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman mereka tamat.

"Mereka dibebaskan Isnin lepas dengan jaminan polis setelah direman sehari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program KL Cops Urbanathlon 2023 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pada 31 Julai lepas, lapan individu dipercayai ahli "The Ahmadi Religion of Peace and Light" (The Ahmadi) ditahan selepas mengadakan perhimpunan di depan Sogo, dengan memegang plakad menyokong LGBT.

Sementara itu, mengulas tentang program yang julung kali diadakan itu, Mohd Shuhaily berkata ia diadakan bagi mengeratkan hubungan di samping menanamkan gaya hidup sihat dalam diri anggota polis Kuala Lumpur.

Katanya, sebanyak 180 peserta membabitkan 36 pasukan mewakili 10 jabatan di IPK Kuala Lumpur dan enam daerah polis Kuala Lumpur termasuk dua pasukan media terlibat dalam program berkenaan.

-- BERNAMA