CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mempergiatkan usaha untuk mengenal pasti syarikat-syarikat dan individu yang culas membayar cukai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abu Tariq Jamaluddin berkata, bagi kes-kes tertentu, pihaknya akan bertindak tegas termasuk menggeledah mengikut peruntukan undang-undang.

Ujar beliau, LHDN sentiasa memantau data-data sedia ada untuk tindakan sewajarnya.

“Syarikat-syarikat ini, seperti biasa... memang kita ada kaedah bagaimana nak menentukan syarikat-syarikat yang culas membayar cukai.

“Berdasarkan kepada risiko-risiko yang kita sentiasa kaji dan semak daripada maklumat-maklumat yang kita terima daripada pelbagai sumber.

“Jadi maklumat-maklumat ini kita akan analisa dan berdasarkan maklumat sedia ada, saban tahun kita boleh kenal pasti kes-kes yang kita akan audit, dan kes-kes yang akan disiasat.

“Ini adalah tindakan berterusan sebenarnya tetapi kita pergiatkan lagi tahun ini untuk mengenal pasti syarikat-syarikat yang culas membayar cukai,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Raya LHDN 2024: Gema Lebaran Aidilfitri di sini.

Jelas beliau, LHDN tidak memilih bulu dan akan mengambil tindakan sewajarnya kepada semua pihak yang mempunyai tanggungjawab terhadap pembayaran cukai.

“Ada kes-kes yang kita kenal pasti, yang memerlukan kita membuat penggeledahan.

“Tetapi kes-kes yang mempunyai risiko lebih rendah, kita akan gunakan kaedah pengauditan.

“Kes-kes yang lebih serius apabila lembaga (LHDN) menguatkuasakan aktiviti siasatan, maka ia akan melibatkan kemungkinan isu geledahan ini berlaku,” tambah Abu Tariq.

Pada 1 Mac lalu, Astro AWANI melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta LHDN bersikap tegas dan berani dalam 'memburu' pembayar cukai yang culas tanpa menggira kedudukan dan pangkat termasuk dalam kalangan 'mahakaya' atau syarikat-syarikat gergasi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan agensi berkenaan tidak perlu takut untuk mengambil tindakan termasuk jika perlu menggeledah ke atas mereka yang tidak membayar cukai.

LHDN merekodkan kutipan cukai sebanyak RM183.3 bilion pada tahun 2023, peningkatan RM7.8 bilion atau 4.49 peratus berbanding tahun sebelumnya.