Penganjuran Liga Bola Sepak Malaysia tidak dibenarkan meskipun tanpa dihadiri penonton kerana sukan tersebut mempunyai kontak fizikal antara pemain-pemain yang disifatkan sebagai bahaya.

Namun demikian, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh membuat permohonan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk dibincangkan nanti.

Pun begitu katanya, ia tertakluk kepada keputusan akhir Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Aktiviti bermain bola sepak ketika ini tidak dibenarkan kerana ia mempunyai risiko sentuhan di antara pemain dan keadaan pemain yang berpeluh. Banyak perkara yang perlu ditimbangkan kerajaan ketika ini.


"Permainan bola (sepak) ini ada kontak fizikal dan apabila berlaku pertembuhan fizikal ia amat berbahaya," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, beliau meminta FAM untuk merangka prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan perkara itu dibincangkan nanti selepas selesai PKPB.

"Insya-Allah saya akan berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagaimana perkara ini boleh dilakukan termasuk sesi latihan dan hala tuju sukan ini," katanya lagi.

Pada masa yang sama, beliau juga mengingatkan persatuan bola sepak negeri supaya tidak membuat SOP sendiri tanpa keluluskan MKN di peringkat pusat.

"Saya tidak mahu negeri (persatuan bola sepak) mengeluarkan arahan sendiri membenarkan. Ianya menjadi satu kesalahan mengikut undang-undang," ujarnya.