Lions XII terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas sekadar seri tanpa jaringan dengan Selangor di Shah Alam.

Wakil Singapura itu kini mengumpul 28 mata daripada 14 perlawanan, empat mata di depan Selangor yang kekal di tempat ketiga.

Babak pertama menyaksikan Selangor lebih banyak menguasai permainan dengan bahagian serangan yang diterajui Francis Forkey Doe.

Ketumpulan penyudah sedikit menghampakan skuad kendalian irfan Bakti Abu Salim itu.

Sementara Lions mula mendapat rentak di pertengahan permainan.

Diterajui kapten, Shahril Ishak, Lions hampir menembusi kubu Selangor pada minit ke-31.

Percubaan Harris Harun bagaimanapun dinafikan Norazlan Razali di gawang tuan rumah.

Masuk babak kedua, Selangor dan Lions terus meningkatkan usaha bagi mendapatkan jaringan.

Namun peluang jaringan disia-siakan terutamanya barisan hadapan Selangor, sekaligus menyaksikan keputusan tanpa jaringan kekal hingga wisel penamat.

Perlawanan lain menyaksikan juara bertahan, Kelantan kembali menemui rentak kemenangan selepas mengatasi T-Team dua-satu di Kota Bharu.

Sementara Perak membenam kelab sensasi selatan, Johor Darul Takzim dengan kemenangan tiga jaringan tanpa balas.