Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang secara rasminya diumum bakal berpindah kerusi untuk bertanding di Parlimen Gelang Patah, Johor pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) nanti.

Pengumuman dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sambutan Ulangtahun ke-47 Parti DAP yang diadakan di Johor Bahru, malam tadi.

Antara yang hadir di majlis itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Kira-kira 20,000 penyokong Pakatan Rakyat hadir di majlis itu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Parlimen Gelang Patah dimenangi calon Barisan Nasional, Tan Ah Eng dengan majoriti 8,851 undi mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat, Dr Zaliha Mustafa.

Berikutan pengumuman itu, veteran DAP yang sudah bertanding sejak 1969 ini bakal memasuki negeri kelima selepas Melaka, Selangor, Pulau Pinang dan Perak.