KUALA LANGAT: Lima lelaki diberkas pada Khamis bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di padang bola sepak di Saujana Putra dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 25 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 pagi di sekitar Banting.

Menurutnya, polis turut merampas lima telefon bimbit berserta kad sim untuk siasatan lanjut.

"Kesemua tangkapan telah direman selama sehari untuk siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

"Pihak polis juga telah mengenal pasti beberapa individu yang terlibat dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ahmad Ridhwan berkata, siasatan mendapati pergaduhan itu berpunca akibat pasukan lawan yang tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan.

Katanya, tangkapan itu dilakukan susulan laporan polis dibuat seorang lelaki berusia 23 tahun pada jam 12.30 tengah malam Rabu lalu yang mendakwa telah dipukul semasa pergaduhan terbabit.

Video kejadian itu turut tular di media sosial menerusi satu rakaman berdurasi 58 saat. -Sinar Harian