PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin, memerintahkan lima bekas pelajar Tingkatan Lima dan empat pihak lain membayar ganti rugi kepada seorang mangsa buli dalam kejadian ketika dia berusia 14 tahun, sehingga menyebabkannya hilang pendengaran.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara memutuskan bahawa sembilan pihak berkenaan bertanggungjawab dan cuai ke atas mangsa selaku plaintif (kini berusia 22 tahun).

Sembilan pihak terbabit ialah lima bekas pelajar tingkatan lima sebagai defendan pertama hingga kelima (kini berumur 25 tahun), penolong kanan hal ehwal murid (PKHEM, defendan keenam), pengetua (ketujuh), Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) (kelapan) dan kerajaan Malaysia (kesembilan).

Kejadian pukul, buli dan serangan itu berlaku di bilik ketua pengawas sebuah sekolah menengah sains di Terengganu pada 26 April 2015 lalu.

Semasa prosiding kes yang dijalankan secara dalam talian, mahkamah memutuskan Ketua Pengarah KPM dan kerajaan bertanggung jawab secara vikarius akibat kecuaian warden, PKHEM dan pengetua.

Susulan itu, mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Mangsa ketika kejadian belajar di Tingkatan Dua, menfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu melalui bapanya, terhadap sembilan defendan tersebut menerusi Peguamcara Tetuan WA Wan Adnan & Associates.

Berdasarkan tuntutan, mangsa mendakwa telah dipukul, dibuli dan diserang oleh lima pelajar senior sehingga mengakibatkan gegendang telinga kanannya pecah, mengalami kecacatan kekal dan hilang pendengaran.

Plaintif juga mengalami trauma teruk dan tekanan perasaan sehingga memaksanya menjalani rawatan psikiatri.

Pada 29 September 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mendapati, semua defendan bertanggungjawab atas kecederaan itu dan membenarkan semua tuntutan ganti rugi termasuk ganti rugi am kecederaan, khas dan teladan.

Bagaimanapun, pada 20 Mei 2021, Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan keseluruhan keputusan itu dan memutuskan plaintif gagal membuktikan liabiliti lima defendan itu telah memukul, membuli dan menyerangnya.

Hakim-hakim Mahkamah Rayuan itu juga menetapkan bahawa defendan keenam dan ketujuh termasuk warden dan pengetua tidak cuai dalam menjalankan tugas terhadap pelajar.

Susulan itu, defendan kelapan dan kesembilan tidak dipertanggungjawabkan atas tuntutan plaintif.

Dalam kes itu, plaintif diwakili peguam, Wan Azliana Wan Adnan dan Hisyam Yusof.

Sementara itu, Wan Azliana yang juga Ketua Gerakan Anti Buli berkata, kes terbabit merupakan kemenangan untuk anak guamnya termasuk semua mangsa kejadian buli di seluruh Malaysia.

"Saya berharap keputusan kes ini dapat dijadikan pengajaran dan bertindak sebagai deterrent (pencegahan) bagi kes-kes buli yang lain," katanya ketika dihubungi.

Pada 29 September 2021, media melaporkan sembilan pihak termasuk lima pembuli, PKHEM dan bekas pengetua sebuah sekolah menengah sains diarah membayar tuntutan sebanyak RM616,634.20 kepada mangsa.

Kesemua sembilan individu itu didapati bersalah menyebabkan kecederaan, tekanan perasaan secara berterusan dan juga pembelajaran terjejas kepada remaja terbabit. - Sinar Harian