PARA peniaga di Kelantan dan Terengganu mendakwa berlaku gangguan bekalan gula pasir pada Aidilfitri lalu.

Ketiadaan bekalan itu sedikit sebanyak mengganggu peniagaan memandangkan gula antara bahan utama dalam masakan mahupun minuman.

Rungutan itu seterusnya mendapat perhatian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau menjelaskan bahawa kekurangan bekalan gula 1 kilogram (kg) di Kelantan dan Terengganu adalah disebabkan penutupan sementara kilang MSM di Johor dan Prai sempena Aidilfitri.

Salahuddin juga memberi jaminan bahawa masalah tersebut telahpun berjaya diatasi.

Berikut adalah senarai lima perkara yang perlu anda ketahui mengenai isu bekalan gula di Kelantan dan Terengganu:

1. Isu bekalan gula terputus di Kelantan dan Terengganu berlaku akibat penutupan sementara kilang MSM di Johor dan Perai, Pulau Pinang sempena sambutan Aidilfitri baru-baru ini. Kedua-dua kilang itu bagaimanapun sudah mula beroperasi 25 April lalu.

2. KPDN telah mengambil tindakan menyelesaikan masalah ini dengan mengedarkan bekalan gula paket 1kg sebanyak 250,000kg yang ada dalam simpanan pemborong utama di Kelantan kepada pemborong dan peruncit yang terjejas.

3. Terdapat lapan pemborong utama gula di Kelantan yang mana empat pemborong utama gula menerima sebanyak 140.72 metrik tan gula daripada MSM. Bekalan baharu tersebut akan diagihkan kepada pemborong dan peruncit mulai esok dengan pemantauan oleh KPDN Kelantan.

4. KPDN turut bekerjasama rapat dengan dua pengilang utama negara iaitu MSM dan CSR bagi memastikan isu gangguan bekalan ini diatasi dengan segera di negeri yang terbabit. KPDN akan bertindak tegas kepada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan di atas situasi yang berlaku atau melanggar mana-mana peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan perundangan subsidiarinya.

5. KPDN memberi jaminan bahawa tiada sebarang keputusan untuk menaikkan harga gula setakat ini dan rakyat boleh mendapatkan bekalan tersebut dengan harga yang ditetapkan. Oleh itu, rakyat tidak perlu bimbang atau panik mengenai kenaikan harga gula.