NILAI: Selama lebih lima tahun penduduk di Kampung Bukit Kadir di sini dibelenggu masalah bau busuk dipercayai daripada air loji kumbahan yang dilepaskan ke dalam Sungai Batang Labu di sini.

Penduduk Saleh Jaratin, 64, mendakwa keadaan itu berlaku disebabkan sistem kumbahan di taman perumahan berhampiran yang tidak diselenggarakan dengan sistematik selain loji kumbahan yang didapati tidak berfungsi.

"Dulu tiada masalah macam ini, tapi sejak taman perumahan dibuka di sini kira-kira 10 tahun lalu, masalah bau busuk ini timbul.

"Apabila saya buat tinjauan, saya dapati bau busuk itu datangnya daripada air loji kumbahan dari taman tersebut dan mungkin air dari situ dilepaskan ke parit di belakang rumah saya sebelum ia mengalir ke sungai utama," katanya kepada media pada Rabu.

Ujarnya, dia mendapati air dari loji kumbahan itu biasanya akan dilepaskan pada jam 8 pagi.

Selain itu Salmah Jamal, 70, berkata, air sungai di hadapan rumahnya yang dahulunya jernih kini bukan saja bau meloyakan tetapi juga ada kalanya berwarna hitam.

Ujarnya, keadaan itu jelas menunjukkan air kotor daripada tempat lain telah disalurkan ke sungai terbabit.

"Kalau dulu di sungai itu kami boleh mandi dan memancing, tetapi sekarang tidak lagi kerana ia kotor.

"Macam saya dah biasa dengan bau busuk ini, tapi kalau orang luar memang tak tahan baunya yang kadang kalanya seperti menghidu bau bangkai ditambah pula dengan sampah yang dibuang ke dalam sungai ini oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya

Abdul Jailani Mokhtar, 68, pula berkata, bau busuk yang terpaksa dihidu setiap hari menyebabkan dia tidak boleh membiarkan pintu rumahnya terbuka.

"Kalau musim panas lagi kuat baunya sehingga nak makan pun tak selera dan tidurnya juga tidak lena. Ia memang membuatkan kehidupan kami terganggu.

"Malah jika hujan lebat berterusan air sungai bercampur air kumbahan itu akan melimpah ke halaman rumah saya,"katanya.

Dia juga tidak menolak bau busuk itu berpunca daripada air dari loji kumbahan yang dilepaskan dari taman perumahan berhampiran.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Nilai, J Arul Kumar ketika dihubungi Sinar Harian berkata, tidak pasti berkenaan masalah itu namun akan mengambil perhatian mengenainya. -Sinar Harian