KUALA LUMPUR:Lima daripada 13 tuntutan yang dikemukakan Sarawak di bawah rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah dipenuhi Kerajaan Persekutuan.

Menurut Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri, Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, kejayaan ini  merupakan hasil rundingan secara berterusan yang dilakukan pihak Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.

“Empat lagi tuntutan masih di peringkat rundingan.

"Manakala empat yang lain masih dibincangkan di bawah jawatankuasa bersama yang ditubuhkan bagi perkara-perkara berkenaan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Rabu.

Ketika menjawab soalan lisan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya, beliau memberitahu, salah satu daripada lima tuntutan MA63 yang dilunaskan termasuk Semakan Semula Pemberian Khas.

"Yang pertama, Semakan Semula Pemberian Khas, yang mana kerajaan negeri telah berjaya memperoleh persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk menyemak semula Pemberian Khas Sarawak.

"Kedua adalah berkaitan dengan isu pengedaran gas di Sarawak. Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menyerahkan kuasa untuk mengawal selia pengedaran gas kepada Sarawak berlandaskan undang-undang negeri iaitu Ordinan Pengedaran Gas 2016," katanya.

Tambahnya tuntutan ketiga yang dipenuhi berkaitan dengan tenaga buruh.

“Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk melaksanakan penurunan kuasa dari Menteri Persekutuan kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk menggubal undang-undang subsidiari di bawah Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76), yang kini diisytiharkan sebagai undang-undang Persekutuan.

"Tuntutan keempat adalah Alam Sekitar, kerajaan persekutuan telah bersetuju menyerahkan perwakilan kuasa di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 kepada kerajaan negeri bagi mengawal selia perkara-perkara berkenaan alam sekeliling termasuk perkara-perkara yang melibatkan buangan terjadual," jelasnya.


Sementara itu tuntutan kelima adalah Pelepasan dan Penyerahan Balik Tanah, iaitu dipersetujui bahawa pelepasan dan penyerahan balik tanah diberi hak milik persekutuan di negeri dilaksanakan berlandaskan Kanun Tanah Negeri Sarawak dan Perlembagaan Persekutuan.

Ujarnya, satu jawatankuasa telah ditubuhkan di peringkat negeri dan pusat untuk memperhalusi kaedah yang komprehensif bagi proses pelaksanaan tersebut.

"Di peringkat persekutuan, satu Majlis Khas Kabinet ditubuhkan bagi meneruskan dan memantau pelaksanaan keputusan-keputusan yang telah dicapai jawatankuasa sebelum ini.

"Selain itu Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) di Jabatan Perdana Menteri juga telah dilantik selaku urus setia bagi memantau pelaksanaan keputusan-keputusan dasar Jawatankuasa Khas Kabinet tersebut," jelasnya.