LANGKAWI: Penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi tahun 2023 (LIMA'23) disifatkan sebagai yang paling berjaya diadakan sepanjang 16 edisi penganjurannya sejak tahun 1991.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan ia susulan kejayaan merekodkan nilai urus niaga sebanyak RM17.6 bilion melibatkan industri berkaitan pertahanan dan komersial yang dikelolakan Kementerian Pengangkutan.

Tambah beliau, kejayaan penganjuran pameran dwitahunan itu untuk edisi kali ini juga dibuktikan dengan penyertaan 525 pempamer tempatan dan luar negara yang merupakan penyertaan tertinggi sepanjang LIMA setakat ini.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, perjanjian perolehan yang dicapai pada pameran itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan keupayaan pertahanan dan tahap kesiapsiagaan negara berada pada tahap optimum.

"Sepanjang lima hari acara berlangsung, rakan pertahanan saya bertukar pandangan tentang banyak perkara. Antaranya bagaimana kita boleh terus mengukuhkan kerjasama serantau antara negara dan kaedah untuk menggalakkan masa depan yang kukuh, stabil dan mampan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa majlis penutupan LIMA '23 di pekarangan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohamad dalam pada itu, turut mengucapkan terima kasih kepada semua peserta LIMA '23 dan pempamer pada edisi ke-16 itu yang terus mengagumkan dengan kemajuan terkini dalam teknologi.

LIMA '23 dengan tema "Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia" bermula Selasa lepas dan berakhir hari ini. LIMA edisi seterusnya dijangka berlangsung pada Mei 2025.

Penganjuran tahun ini melibatkan dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan (sektor pertahanan) dan Kementerian Pengangkutan (sektor komersial).