KUALA LUMPUR: Pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara telah mencapai hampir 50 peratus liputan kawasan berpenduduk (COPA) setakat akhir tahun lepas sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 40 peratus.

Ketua Pegawai Operasi Digital National Berhad (DNB) Nasution Mohamed berkata rangkaian itu kini telah mencapai 15 juta penduduk melibatkan 3,900 tapak dan bakal mencapai lebih 30 juta orang serta perniagaan apabila dilaksanakan sepenuhnya.

"DNB kini memberikan tumpuan penuh ke arah mencapai komitmen 80 peratus COPA menjelang akhir tahun 2024 atau lebih awal," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata DNB mendapat sokongan penuh pihak berkuasa negeri dan tempatan yang telah mempercepat kelulusan bagi meneruskan pelaksanaan 5G selain berjaya menyelesaikan isu tapak tertangguh seterusnya mencapai tahap lebih pantas sepanjang bulan lepas.

Katanya setakat ini, DNB telah mencapai lebih 90 peratus liputan COPA di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya serta Selangor dan kira-kira 50 peratus di Johor, Melaka serta Negeri Sembilan.

"Negeri lain pula kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dan akan turut mencapai pelaksanaan rangkaian penuh menjelang 2024 ataupun lebih awal," katanya.

Nasution berkata DNB sedang menjalin kerjasama rapat dengan rakan Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) dan pengeluar peranti untuk mempromosi serta menggalakkan penggunaan 5G di seluruh negara pada 2023.

Katanya pihak MNO juga telah memperkenal pelbagai pelan data 5G kepada pelanggan pada harga runcit yang sangat menarik bagi menggalakkan penggunaan perkhidmatan rangkaian itu.

Beliau berkata setakat ini, lima MNO iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd (YES) mula menyediakan perkhidmatan runcit 5G kepada lebih 20 juta pelanggan mereka selepas memeterai Perjanjian Akses 5G dengan DNB pada 31 Okt 2022.

Bagaimanapun, pelanggan Maxis Bhd masih belum dapat mengakses perkhidmatan itu kerana menunggu kelulusan pemegang saham syarikat itu bagi melaksanakan Perjanjian Akses 5G dengan DNB yang dijangka berlangsung sekitar bulan ini.

Nasution juga berkata kira-kira lapan juta peranti serasi 5G sudah menjadi milik pengguna setakat akhir 2022 dan jumlah itu dijangka berganda tahun ini dengan jangkauan 40 juta peranti menjelang 2030.

"Apple merupakan pengeluar peranti terkini yang membekalkan kemas kini perisian tegar di Malaysia untuk menjadikan iPhone 12 dan ke atas serasi dengan rangkaian 5G.

"Terdapat 15 jenama peranti yang kini menawarkan lebih 100 peranti serasi 5G kepada pengguna dalam pasaran Malaysia dari model-model utama sehinggalah model yang lebih menjimatkan," katanya.

Beliau berkata penawaran itu ditambah dengan pelan data 5G runcit lima MNO terbabit dijangka mempercepat penggunaan dalam kalangan pengguna akhir sepanjang tempoh beberapa tahun akan datang.

Katanya sejak pelancaran perkhidmatan 5G oleh kelima-lima MNO, penggunaan rangkaian 5G Malaysia telah meningkat lapan kali ganda daripada 32 terabait (TB) kepada 253TB sehari dengan 90,000 pengguna serentak setakat 30 Dis 2022.

Nasution berkata rangkaian 5G mempunyai purata kelajuan muat turun 380 megabait sesaat (Mbps) (setara dengan penanda aras global lain yang dilaporkan) berbanding purata kelajuan muat turun 4G iaitu 35 Mbps.

-- BERNAMA